Yasmin Ahmad & Seninya Yang Tersendiri
oleh Muhd Shamil
Jika ditanya, siapa penggiat seni alaf baru yang paling aku minat, pastinya, tidak lain dan tidak bukan, jawapan aku adalah arwah Yasmin Ahmad. Beliau berkarya melalui filem-filem “taboo-breaking” & iklan-iklan kritik sosial beliau. Bagi aku ia adalah satu cabang seni yang amat menarik dan unik.
Jika diteliti dari filem beliau seperti Muallaf, Mukhsin, dan lain-lain, Yasmin Ahmad gemar menggunakan pelakon-pelakon baru yang kebiasaannya tidak dikenali ramai sebagai antara pelakon utama, ramai bertanya, bagaimana kebanyakan filem beliau berjaya dan boleh meninggalkan impak?
Jawapan beliau amat mudah, “let people be wonderful, if they’re wonderful, take them” - jika karakter yang ditulis tidak sesuai dengan mereka, maka ubah karakter tersebut kerana sesebuah karakter itu hanyalah rekaan semata-mata. Kenapa perlu ubah apa yang telah ditulis untuk sesuaikan dengan pelakon? “Because they’re God’s creation and they’re blessed with it, who are you?” jawabnya.
Kesanggupan untuk “step back & observe” adalah sebuah seni kerana apabila anda melangkah sedikit kebelakang daripada sesuatu perkara, anda akan dapat melihatnya dengan lebih jelas dan menyeluruh. Untuk seseorang pengarah filem mengambil perkataan “pengarah” itu secara literal dimana semua perkara mesti mengikut kehendaknya, sesebuah karya itu tidak akan kemana.
Aku percaya, sebab mengapa tidak ada seorang pun pengarah masa kini yang dapat menandingi karya-karya arwah Yasmin Ahmad adalah kerana mereka tidak sanggup untuk melangkah sedikit kebelakang dan memerhati apa yang sebenarnya sedang berlaku disekeliling mereka.
”Remove as much arrogant as you can, remove self-importance, step back and be nobody so that you can be a part of something much much bigger” - Yasmin Ahmad, 2009.