top of page

Borak-Borak: Syed Fakaruddin

Syed Fakaruddin, seorang seniman muda yang berasal daripada Setiu, Terengganu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pertama sekali kami ingin ucapkan tahniah buat Syed Fakaruddin atas kejayaan pameran solo pertama beliau; Bumi Asing di Segaris Art Center beberapa bulan lepas.

Kami sangat teruja untuk berkongsi dengan para pembaca mengenai pengalaman dan kisah beliau. Ayuh kita baca edisi BORAK-BORAK kali ini bersama Syed Fakaruddin.

ARTO Movement (AM):                Pertama sekali, tahniah dan syabas di atas pameran solo pertama anda; Bumi Asing. Baik, untuk soalan pertama, boleh ceritakan sedikit mengenai latarbelakang anda?

Syed Fakaruddin (SF):                    Saya berasal daripada Setiu, Terengganu. Sekarang menetap dan berkarya di Studio Sarang Batu, Ara Damansara. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Putera Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putera Jaya di Setiu. Selepas SPM saya mengambil kemahiran di Giatmara Setiu dalam bidang pembinaan dan selepas itu saya mendapat tawaran belajar pengajian diploma seni halus di UiTM Lendu, Melaka dan terus sambung kepada ijazah sarjana muda seni halus (majoring sculpture) di UiTM Shah Alam. Saya tamat pengajian pada tahun 2012 dan terus berkarya sepenuh masa sehingga sekarang.

AM:       Soalan seterusnya pula, siapakah yang mempengaruhi anda untuk menjadi seorang seniman dan kenapa anda berminat untuk menjadi seorang seniman?

SF:          Pada mulanya saya mendapat pendedahan seni daripada abang ketiga saya semasa di sekolah rendah dan saya mempunyai 5 orang adik beradik lelaki dan saya merupakan yang bongsu. Pada masa itu, beliau banyak mengajar saya tentang melukis kartun dan figura. Selepas itu minat saya terhadap seni semakin ‘ghairah’ disebabkan perasaan ingin tahu yang ada dalam diri saya dan ingin menjadikan seni itu salah satu kerjaya gaya hidup yang sebati. Walau bagaimanapun, menjadi seorang seniman bukannya perkara yang mudah, ia memerlukan mental dan fizikal yang kuat terhadap sekeliling dan penerimaan orang. Selain itu juga, menjadi seorang seniman dapat mengekspresikan atau meluahkan apa yang ada di sekeliling kita untuk memberikan masayarakat berfikiran terbuka.

 

AM:       Kami mengikuti anda melalui posting Instagram, dan kami dapati anda adalah seorang seniman yang sangat tekun. Boleh ceritakan sedikit mengenai proses anda bekerja sebagai seorang seniman?

SF:          Proses saya berkarya pada mulanya lebih kepada lakaran-lakaran idea yang timbul tidak mengira waktu, saya melakar dikertas, kotak, dinding, kanvas, telefon pintar dan sebagainya yang ada di depan mata. Selain itu, saya banyak meihat keadaan sekeliling seperti bentuk landskap, cuaca, mood, kelakuan manusia, tumbuhan dan binatang.

AM:       Di manakah studio anda berada dan biasanya dalam sehari, berapa jam yang dihabiskan untuk membuat painting?

SF:          Studio saya berada di Ara Damansara dan saya berkarya pada waktu pagi dan malam mengikut emosi, mood dan ekspresi ketika itu. Karya-karya saya tidak menentu untuk disiapkan.

AM:       Adakah anda lebih kreatif di dalam atau di luar studio dan kalau tetiba artist’s block, apa yang anda akan buat?

SF:          Saya lebih kreatif di luar studio dan kadang-kadang lebih kreatif di dalam studio yang sunyi dan keadaan yang tenang ditemani seekor kucing saya yang bernama Andy (gelak). Apabila berlaku ‘Artist Block’, saya akan cuba melihat karya-karya lama saya dan video art untuk memperbetulkan jalan saya.

AM:       Ok, now let us talk more on your recent solo show; Bumi Asing. Boleh kongsikan dengan kami tentang Bumi Asing? Macamana dapat tajuk Bumi Asing dan apakah signifikasinya?

SF:          Bumi Asing merujuk kepada landskap imaginasi atau rekaan inovasi dunia saya sendiri mengikut observasi keadaaan sekeliling yang saya lalui dan rasai. Bumi metafora kepada diri saya sendiri yang mempunyai pelbagai emosi dan permukaan seperti apa yang kita tahu bumi mempunyai cuaca panas, sejuk, tenang, kering, mendung dan sebagainya. Selain itu, permukaan pula seperti fizikal bumi itu sendiri seperti, tanah, laut, gunung, hutan, ais, sungai, api dan sebagainya. Walau bagaimanapun, saya cuba mengasingkan emosi dan permukaan landskap mengikut apa saya lalui dari kebiasaan untuk audien merasai ekspresi dan mood penghijrahan landskap kampung ke bandaraya.

AM:       Kalau kita lihat dari tajuk pameran ini, Bumi Asing, boleh kami rungkaikan yang ianya mengenai lanskap. Adakah lanskap ini semata lanskap ataupun ianya mencerminkan keadaan sekeliling? Contohnya lanskap politik atau sosial negara?

SF:          Landskap saya lebih mencerminkan keadaan sekeliling kita pada masa sekarang dengan perubahan yang berlaku berkemungkinan berkait dengan ketamakan politik dan masalah sosial masyarakat sehingga mengganggu pancaindera dan emosi itu sendiri.

AM:       Jika kita lihat dari sudut teknikal, anda menggunakan cat minyak sedangkan ramai seniman dewasa kini, beralih arah ke akrilik kerana ianya lebih mudah, murah dan cepat untuk kering. Kenapa cat minyak?

SF:          Cat minyak merupakan bahan yang tahan lama dan sudah dibuktikan dalam karya-karya great master pada zaman dahulu seperti Leonardo da Vinci, Rembrandt, Vincent Van Gogh, Frida Kahlo dan banyak lagi. Saya memilih cat minyak diatas kanvas kerana bahan ini banyak lagi yang boleh dieksplorasi atau diterokai dari sudut kepelbagaian teknik seperti menggosok, mencungkil, menggores, mencakar dan menampal kerana untuk berkarya bukan sekadar menggunakan berus sahaja. Ia juga boleh membuat kesan-kesan yang cantik, kusam, bertompok dan sebagainya apabila dieksperimentasi. Walau bagaimanapun, cat minyak merupakan bahan konvensional tetapi bagi saya ia masih relevan pada zaman sekarang.

 

AM:       Boleh ceritakan kenapa anda memilih untuk membuat painting, sedangkan anda dulu adalah student major in sculpture. Kenapa memilih catan dan bukannya arca?

SF:          Selepas tamat pengajian pada tahun 2012, saya masih membuat karya arca untuk berpameran. Sebelum ini semasa belajar, karya arca saya menggunakan bahan besi dan disebabkan alatan tidak mencukupi bila sudah tamat pengajian, saya mengambil keputusan untuk menggunakan bahan yang senang diperolehi. Antara sebab lain adalah, karya arca saya kurang mendapat sambutan di pasaran dan antara faktornya adalah kurang ruang penyimpanan dan minat para pengumpul (collector) seni arca di samping penggunaan bahan yang tidak dapat bertahan lama. Di samping itu, modal yang perlu digunakan untuk menghasilkan sesebuah karya arca bukanlah kecil, tambahan pula faktor kewangan yang tidak mencukupi, menyebabkan saya beralih arah ke karya catan. Namun apa yang penting, saya tetap meneruskan karier saya sebagai seorang seniman walaupun berlainan disiplin (gelak). Mengikut pengamatan saya, masyarakat seni rupa Malaysia (SERUM) masih kurang bersedia untuk menerima karya-karya berbentuk arca, mungkin kerana beberapa faktor antaranya ruang, bentuk dan bahan yang digunakan. Tetapi ianya tidak bermakna yang saya akan berhenti terus dari membuat arca sebaliknya saya tetap akan membuatnya suatu hari nanti. Saya ingin menjadi seniman yang versatile dan tidaklah hanya terkatup sebagai seniman catan. Saya sebenarnya nak buat semua bentuk karya seni baik catan, sculpture, printmaking dan installation art.

AM:       Seterusnya, apakah pendapat anda tentang seni di negara jiran – Singapura, Indonesia dan Filipina? Sejauh manakah perbezaan kita jika ada?

SF:          Maaf saya tidak berapa arif keadaan seni di negara jiran. Tetapi mengikut pengamatan dan perkongsian rakan-rakan seniman yang pernah mengikuti residensi dan melawat negara jiran, mereka kongsikan bahawa seni di negara-negara jiran semakin maju dari segi karya, seniman dan juga mereka (negara-negara jiran), mempunyai art fair dan art festival yang bertaraf dunia seperti ArtJog (Jogjakarta), Biennale Jogja (Jogjakarta), Jakarta Biennale (Jakarta) dan Singapore Biennale (Singapore).

AM:       Jika kita lihat dewasa kini, kerajaan dilihat aktif membantu industry seni antaranya dengan penubuhan CENDANA dan juga My Creative Ventures. Adakah anda rasa bantuan ini mencukupi dan mencakupi segenap pelosok masyarakat seni atau hanya kepada individu/institusi/kolektif tertentu?

SF:          Setakat ini bagi saya bantuan seperti itu sudah mencukupi untuk membantu SERUM dan selebihnya kita sendiri pula yang harus memperhebatkan lagi SERUM sehingga pihak atasan dapat melihat keaktifan dalam menaikkan nama dan ekonomi negara. Setelah itu, barulah pihak atasan memperbanyakkan lagi bantuan untuk senirupa Malaysia.

AM:       Pada pendapat anda, apakah peranan seorang seniman kepada masyarakat? Sejauh manakah seniman memainkan peranan penting kepada pembentukan sosio-budaya?

SF:          Pada pendapat saya, seniman mempunyai peranan penting kepada masyarakat dalam membentuk masyarakat yang kreatif dan berfikiran terbuka dalam segala hal. Selain itu, seniman perlu membantu menjadikan masyarakat bijak menilai kesenian dan membentuk tamadun yang hebat.

AM:       Dalam banyak-banyak karya yang pernah anda hasilkan (sejak zaman belajar sehingga kini), yang mana satu merupakan karya kegemaran anda dan kenapa?

SF:          Karya kegemaran saya adalah karya arca pisang yang diperbuat daripada papier mache (kertas) dan dipamerkan dalam sebuah pameran berkumpulan di Segaris Art Center pada tahun 2013. Ianya menjadi karya kegemaran saya kerana ianya merupakan karya pertama saya hasilkan selepas tamat pengajian.

 

AM:       Soalan cepumas pula (gelak), kenapa anda memilih seni dan jika seni bukanlah pilihan anda, di mana anda berada sekarang?

SF:          Saya memilih seni kerana saya ingin melihat sejauh mana saya boleh pergi dan juga menggunakan sebaiknya kelebihan dan kebolehan yang diberikan oleh ALLAH SWT. Jika seni bukanlah pilihan, saya pun tak pasti di mana saya berada sekarang (gelak).

AM:       Sebelum kita mengakhiri sesi BORAK-BORAK ini, boleh Syed berikan sedikit kata-kata semangat terutamanya untuk seniman muda dan juga para pembaca?

SF:          Kata-kata yang saya boleh berikan adalah sentiasa berkarya dan ‘buat’ tak kiralah kalua karya itu ‘jadi’ atau ‘tidak’. Kegagalan itu perkara wajib dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik, jadi jangan pernah putus asa. Jangan terlampau mengejar populariti, kekayaan, nama dan sebagainya yang boleh menjejaskan karier sebagai seorang seniman. Selain itu, jauhi orang selalu berfikiran negatif dan banyakkan bergaul dan berbincang perkara-perkara positif untuk mengukuhkan jati diri yang kuat.

AM:       Terima kasih Syed Fakaruddin.

SF:          Sama-sama.

 

bottom of page