top of page

Borak-borak: Khairudin Zainudin

Khairudin Zainudin yang berasal daripada Kelantan merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Bergiat aktif dalam bidang seni visual sejak tahun 2009 dengan memasuki beberapa pameran berkumpulan anjuran G13 Gallery antaranya Art Expo Malaysia di MARTRADE pada tahun 2013 dan Tales from Two Cities yang mengumpulkan seniman muda kontemporari dari Malaysia dan Filipina pada tahun 2015.

 

Khairudin telah mengadakan 4 buah pameran solo yang diadakan di dalam dan luar negara iaitu, “Senyap Dalam Gege” (2014), “Oriental Express: Beyond Identity” (2016) dan “Young Artist Discovery” di Art Taipei, Taiwan (2015) dan Art Stage Singapore 2015.

 

Kami sangat teruja untuk berkongsi dengan para pembaca mengenai pengalaman dan nasihat oleh Khairudin Zainudin!

 

ARTO Movement (AM): Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang anda?

 

Khairudin Zainudin (KZ): Saya merupakan anak kelahiran Kelantan. Sulung daripada 6 adik beradik.  Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Suria pada tahun 1993 di Tanah Merah. Kemudian saya meneruskan pendidikan ke Sekolah Menengah Arab (Ugama) Maahad Muhammadi Lelaki pada tahun 2000. Saya memulakan pendidikan seni secara formal semasa saya di tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Yunus, Bachok pada tahun 2007. Kemudian saya meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Halus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 2008. Saya merasakan diri ini masih lagi kurang ilmu mengenai seni halus, membuatkan saya teruja untuk melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Seni Halus di UiTM Jalan Othman di bawah kelolaan Prof Madya Jalaini Abu Hassan dan Prof Madya Ramlan Abdullah.

 

AM: Siapakah yang mempengaruhi anda untuk menjadi seorang seniman?

 

KZ: Diri sendiri (gelak). Pada peringkat awalnya, saya mula melukis sebagai satu hobi. Namun saya akan pastikan setiap lukisan saya itu memuaskan hati saya. Jika saya tidak berpuas hati, saya akan melukis semula sehingga saya rasakan yang ianya yang terbaik untuk saya. Saya mula konsisten melukis semasa di peringkat sekolah menengah di mana hampir setiap hari saya akan melukis bagi menajamkan kemahiran saya. Ibu bapa saya tidaklah menyokong namun mereka tidak membangkang saya untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang seni. Justeru itu, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di peringkat tingkatan enam bagi mengambil kertas ujian Pendidikan Seni Visual (PSV). Pada mulanya saya ingin menduduki kertas Pendidikan Seni Visual semasa Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) namun tidak berpeluang kerana pihak sekolah bimbang prestasi sekolah mungkin jatuh kerana saya adalah calon tunggal PSV. Semasa di tingkatan enam, saya mula mengenali dan mempelajari mengenai seni secara formal. Saya masih ingat semasa di tingkatan enam, cikgu seni saya sering menyogok saya agar menjadi seorang seniman sepenuh masa.

 

Kemudian saya melanjutkan pendidikan di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UiTM Shah Alam. Saya dapat mengenali dan berkecimpung dalam bidang seni visual lantaran kedudukan UiTM yang berada berhampiran dengan Kuala Lumpur yang pesat membangun dengan kepelbagaian galeri-galeri seninya. Saya diberi pendedahan tentang bagaimana industri seni yang sebenarnya. Semasa di UiTM juga saya berpeluang berpameran di galeri-galeri persendirian antaranya RA Fine Arts, Blackbox dan Galeri Shah Alam selain pameran-pameran di galeri UiTM sendiri. Kemudian saya diberikan peluang untuk menjalani praktikal bersama dengan seniman abstrak Malaysia; Suzlee Ibrahim. Pengalaman sepanjang tempoh praktikal itu membuka mata saya tentang realiti sebenar kehidupan seorang seniman sepenuh masa.

 

Selepas tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, saya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana. Di sini saya telah diberikan lebih pendedahan di bawah tunjuk ajar Prof Madya Jalaini Abu Hassan dan Prof Madya Ramlan Abdullah. Usai menamatkan pengajian, saya mengambil keputusan untuk menjadi seniman sepenuh masa dan mengadakan pameran antaranya di Morne Gallery, G13 Gallery, Segaris Art Centre dan HOM Art Trans.

 

AM: Kenapa anda berminat untuk menjadi seorang seniman?

 

KZ: Sejujurnya pada awal pembabitan, saya tidak begitu berminat. Namun lambat-laun minat itu wujud dan kini saya mengharapkan bidang kerjaya saya pada masa depan masih lagi melibatkan aktiviti melukis.

 

AM: Boleh ceritakan sedikit mengenai proses anda bekerja sebagai seorang seniman?

 

KZ: Ada beberapa proses yang saya ikuti dalam menghasilkan sesuatu karya. Pada kebiasaannya adalah membuat observasi, olahan dan melukis berpandukan kepada observasi yang dihasilkan.

 

AM: Dimanakah studio anda berada dan berapa jam sehari anda berada di sana?

 

KZ: Studio saya berada di dalam master bedroom rumah keluarga di Taman Sri Gombak. Mengenai berapa lama (jam) saya berada di sana pula tidak menentu. Ianya bergantung kepada selama mana saya perlu berada di sana untuk menghasilkan atau menyiapkan sesuatu karya.

 

AM: Adakah anda lebih kreatif di dalam atau di luar studio?

 

KZ: Saya menjadi lebih kreatif bila diluar studio.

 

AM: Boleh kongsikan dengan kami tentang projek terbaru anda? Ada masuk apa-apa pameran  atau sedang dalam proses menghasilkan karya terbaru?

 

KZ: Mengenai projek terbaru, ianya masih lagi di awangan (gelak). Namun idenya masih lagi mengenai observasi. Kalau mengenai karya terbaru, ianya berjalan seperti biasa cuma mengenai pameran, perancangan baru sedang berjalan.

 

AM: Apakah pameran yang membuatkan anda terasa teruja?

 

KZ: Telah banyak pameran-pameran seni yang saya kunjungi sejak zaman universiti lagi. Jika disebut beberapa, ianya hanya bersifat biasa. Bagi saya sebuah pameran seni itu mestilah memberi kesan kepada diri sendiri. Dan pada saya, Singapore Biennale yang diadakan pada bulan Januari yang lepas merupakan antara pameran seni yang sangat mengujakan dan bermakna.

 

AM: Apakah pendapat anda tentang seni kontemporer Malaysia?

 

KZ: Tentang seni kontemporer Malaysia? Jika diamati perkembangan seni visual di Malaysia, kita boleh katakan yang seni visual Malaysia mulai mengejar dari belakang dengan laju. Beberapa badan-badan seni dan juga galeri seni mulai nampak akan perubahan tersebut dan sudah mula mengorak langkah. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita boleh lihat beberapa acara-acara Biennale muncul di Malaysia seperti Langkawi Biennale dan Shah Alam Biennale. Kedua-dua biennale ini lebih bersifat kendiri dan berputar dalam kelompok tertentu. Walaupun Malaysia mempunyai ramai seniman, namun seniman yang terlibat dalam biennale yang diadakan hanyalah sebilangan kecil sahaja. Ianya seolah-olah wujud sempadan politik seni yang mana seniman perlu tahu mengenainya dan terlibat sama.

  

AM: Apakah pendapat anda tentang budaya seni di negara jiran?

 

KZ: Maaf, saya tidak begitu arif namun pada pengamatan saya, Singapura seolah-olah menjadi pentas seni untuk Asia Tenggara. Hal ini saya katakan kerana, slogan “We are Asia” dilaungkan begitu kuat semasa berlangsungnya Art Stage beberapa tempoh yang lalu.

 

AM: Adakah kerajaan menyokong industri seni?

 

KZ: Pada pendapat saya, kerajaan memang menyokong industri seni dengan menghasilkan beberapa program seni seperti 1MCAT (1Malaysia Community Art Tourism) dan sepanjang penglibatan dalam bidang seni visual, sudah beberapa kali saya berpeluang menyertai pameran 1MCAT ketika menetap di Kelantan. Selain daripada itu, saya juga berpeluang menerima dana untuk mengadakan pameran solo kedua saya di Art Taipei pada tahun 2014 yang lalu.

 

AM: Pada pendapat anda, apakah peranan seorang seniman kepada masyarakat? Sejauh manakah seniman memainkan peranan penting kepada pembentukan sosio-budaya?

 

KZ: Peranan seorang seniman kepada masyarakat bergantung kepada seniman terbabit. Selain itu, ianya juga bergantung kepada dimana mereka cuba meletakkan kedudukan karya mereka kepada masyarakat mengikut fungsi karya seni itu sendiri. Sebagai contohnya, jika seniman menganggap karya beliau lebih kepada mendidik maka kemungkinan karya beliau bukan dalam bentuk yang begitu komersil. Juga jika karya seseorang artis itu lebih kepada propaganda, karyanya sudah tentu berbeza bentuk dan imej mengikut pengisisan yang cuba disampaikan. Walau bagaimanapun setiap karya layak untuk berfungsi sebagai bahan pendidikan.

 

Peranan seniman dalam pembentukan sosio-budaya? Soalan yang sangat kritikal. Bagi saya pada masa kontemporer sekarang seniman tidak begitu memainkan peranan penting kepada pembentukan sosio-budaya kerana terdapat permasalahan-permasalahan seperti cabaran dari dunia kontemporer global. Seniman berlumba-lumba ke luar negara, bentukan-bentukan hasil karya seni mereka sendiri tidak melambangkan pembawakan identiti sosio-budaya tempatan. Sering kali saya sendiri mencuba untuk menyelitkan unsur-unsur warisan dan tradisi di dalam karya sepanjang penglibatan berpameran tapi itu hanya terhad kepada pengunjung-pengunjung yang melawat ke pameran tersebut. Bagi saya pembentukan sosio-budaya oleh seniman bukan hanya melalui penghasilan karya seni, sebaliknya lebih kepada program-program ilmiah atau program kerjasama antara seniman dan rakyat. Pendapat saya sahaja, jangan kecam saya (gelak).

 

AM: Dalam banyak-banyak karya yang pernah anda hasilkan (sejak zaman belajar sehingga menjadi seniman), yang mana satu merupakan karya kegemaran anda dan kenapa?

 

KZ: Sebenarnya ada beberapa yang menjadi kegemaran, namun bagi saya karya yang paling berjaya ialah karya paling awal kerana ianya hasil daripada dapatan kajian saya yang terawal. Bagi saya, karya yang terawal adalah penentu kepada bentukan karya-karya seterusnya.

 

AM: Adakah personaliti anda mempengaruhi cara pembuatan karya?

 

KZ: (Mengangguk) Mungkin.

 

AM: Kenapa anda memilih seni?

 

KZ: Kenapa saya memilih seni? Seni pada saya adalah kehidupan. Seni visual pula merupakan salah satu cabang seni yang boleh dinikmati dan mudah untuk diterima serta dihargai.

 

AM: Sebelum kami mengakhiri sesi temubual ini, boleh berikan sedikit kata-kata semangat terutamanya kepada seniman muda dan juga pembaca #projekZineSeni

 

KZ: Terima kasih untuk sesi temubual ini. Bagi seniman muda, apa yang perlu diingat adalah untuk “BUAT!”. Saya ingat lagi, itu merupakan kata-kata semangat yang diwarisi oleh saya daripada seniman-seniman senior. Sebagai seniman, perkara utama untuk bermula berkarya adalah “BUAT!”. Buat dan buat serta jangan mudah alpa. Sesekali, kita perlu juga mengambil beberapa langkah ke belakang, duduk dan berfikir tentang keadaan sekeliling dan karya. Selagi umur kita masih di bawah 30 tahun, terus melangkah dan buat. Setiap kali kita jatuh, cepat-cepat bangun semula dan terus buat! Kalau kita ni sudah umur 30 tahun ke atas, ianya merupakan fasa untuk terus konsisten. Konsisten dengan apa yang kita dah buat. Macam saya sekarang ni, baru je masuk fasa konsisten (gelak).

AM: Terima kasih Khairudin.

 

KZ: Sama-sama.

bottom of page