SENI, INSTA & APRESIASI
Aku menulis disini sebagai orang biasa-biasa yang agak dekat dengan seni dan agak berjauhan dengan media sosial sejak dua tahun kebelakangan. Tidak berlebih jika aku katakan bahawa masyarakat Malaysia rata-ratanya "addicted" dengan media sosial. Malah soalan bocor UPSR juga diperoleh daripada aplikasi WhatsApp. Namakan apa platform chatting, media sosial dan perkhidmatan atas talian yang aku tidak pernah punya akaun. Aku cuba untuk "recall", bermula dari MiRC (IRC Networks), MSN Messenger, YM!, ICQ, Skype,Nimbuzz, BlackBerry Messenger, Google Talk, QQ, WeChat, WhatsApp.Phew! Kemudian, muncul pula era media sosial seperti Friendster, spring.me, SoundCloud, Tumblr, GoodReads, Google+, Ning, hi5, flickr, Instagram, Facebook, twitter. Okay, aku tipu. Ada dua sahaja platform yang aku tidak punya akaun dalam senarai di atas. Ini belum lagi senarai-senarai lain selain forum dan blog milik aku. Melihat senarai kasar ini sahaja sudah punya lebih kurang 23. Maknanya disini aku telah menyatakan bahawa aku adalah salah seorang daripada individu yang "addicted" pada sosial media atau dunia digital dan aku cuba beralih untuk "addicted" pada dunia akhir ;) Insyallah.
Apa yang aku ingin buktikan disini, secara kasarnya aku boleh katakan bahawa seorang individu dalam masyarakat Malaysia punya lebih kurang 3 akaun media sosial atau lebih dalam satu masa. Mungkin perbincangan atau huraian versi aku disini adalah lebih fokus kepada Generasi X,Y dan Babyboom. Jika aku bincangkan tentang seni secara umum, ia amat besar. Dalam seni suara, Too Phat berganding bermula dari MiRC. Lagenda seni reka digital dalam era aku mungkin Moed Latif. Seni animasi, hero aku Keluang Man ;) Ini adalah sedikit senarai pendek aku yang berlatar belakangkan seni dan komunikasi dunia digital. Dalam kekagetan aku menempuh Y2K 14 tahun lepas, aku mengenali karya catik dan hidup Birth of Venus kepunyaan Sandro Botticelli dalam muka depan loading software Adobe Illustrator. Seni dan dunia digital adalah satu "frontier" dalam dunia seni secara umum. Tapi aku lebih tumpukan perbincangan dan huraian versi aku kepada seni visual atau seni tampak dalam dunia digital dan aspirasi masyarakat kini terutamanya masyarakat Malaysia.
Penerimaan dan jadual kala penyerapan apresiasi dalam seni lokal mungkin lebih terdorong kepada skala perlahan atau masih lembab. Ia masih dikepalai oleh golongan elit dan berpendidikan. Namun presepsi itu masih klise. Itu juga persoalan. Menurut aku perubahan seni itu bergantaiangan dan bersulam bersama nilai masyarakat itu sendiri. Disini juga aku tidak ingin mempersoalkan fungsi Balai Seni Visual Negara dan institusi lain yang senada telah berhempas pulas mempelopori dan mempromosi seni buat masyarakat Malaysia. Pada skala aku, platform yang disediakan oleh mereka ini sudah berada di atas dan aku bangga. Pada aku mereka berjaya. Aku menganggap institusi ini sama penting dengan institusi pendidikan dimana ia adalah jalinan atau medium orang seni dan orang biasa (seperti aku) untuk merefleksi dan menerima seni secara berkatalog dan terang. Fungsi institusi ini dalam fungsi sosial telah lama terbit sejak zaman lewat kurun ke-18. Orang seni melalui institusi muzium dan terciptanya galeri awam telah membentuk fungsi sosial tersendiri dalam masyarakat moden dan kontemerori; mereka juga memainkan peranan utama dalam definisi market untuk seni dan pendekatan kritikan seni (art critics) yang seperti mana kita tahu sekarang (Altshuler, Salon to Biennial 11–18).
Untuk menjawab persolan klise penerimaan dan perubahan seni diatas, aku berikan contoh mudah seni tradisional dalam tradisi perkahwinan Melayu moden. Bermula dari baju Melayu dan songket, hingga kepada bunga manggar, hantaran dan bunga telur. Nilai masyarakat Malaysia khususnya yang terbias oleh tekanan sosio-ekonomi dan pertembungan budaya moden dan tradisional, merubah nilai estetika seni dalam kehalusan seni budaya Melayu itu sendiri. Dek kerana tekanan sosio-ekonomi, kebanyakan seni tradisi yang halus dalam pembuatan lebih ke arah komersil dan buatan mesin. Seni tradisi Melayu dalam soal ini masih tetap hadir dan kekal, tapi dalam medium dan kualiti yang berbeza. Jadi, masyarakat lebih mementingkan nilai yang ada pada mereka, iaitu nilai kuasa membeli lebih kepada nilai apresiasi dan estetika seni itu sendiri. Seni tradisi seperti ini bukanlah tergadai, tapi lebih kepada perubahan masa dan kaedah pendekatan melestari dan mengekalkan seni tradisi. Moga bayangan ini terjawab dengan soalan klise tadi.
Masyarakat kita masih dekat dengan seni. Namun seni moden dan kontemporari punya peminat tersendiri. Jangan semena-mena menyalahkan masyarakat kerana tidak mengenal pelukis dan anak seni Malaysia. Mereka mungkin tidak tahu nama pemilik, tapi sudah melihat karya agung mereka secara langsung atau tidak. Pada aku, cukuplah masyarakat yang biasa-biasa seperti aku ini untuk mengatakan "Wah...lukisan anak Malaysia ini bermutu juga ya? Macam pelukis Realism lain dari luar negara. Paling-paling mesti RM10,000 juga harganya". Tetapi, mungkin juga ada lagi masyarakat yang lebih biasa-biasa dari biasa-biasa yang macam aku ini yang langsung tidak menganggap figura lima angka itu wajar untuk karya biasa-biasa orang seni tempatan. Ini hanya jangkaan aku. Masih aku teringat tahun 2013 bila aku membawa anak kakak aku melawat BSNL. Tak silap aku, ada pameran seni Islam. Karya khat kontemporary bersaiz A1 bertanda harga lima angka. Anak kakak aku yang berusia 15 tahun nampaknya terperanjat dan rasanya aku telah menukar perspektif beliau dengan "nilai" karya. Aku bukan membincangkan perihal harga seni. Aku lebih menilai persepsi masyarakat. Aku cuba menerapkan apresiasi seni dalam keluarga aku. Sekurang-kurangnya ibu aku yang berumur pencen dan tahap makcik-makcik masjid, masih mampu menapak menghabiskan masa dua jam dengan mengakhiri lawatan dengan karya Pertarungan oleh Amron Omar.
Golongan muda yang berstatus beila & remaja lebih dekat dengan dunia digital, secara terangnya termasuk aku. Cuma lebihnya mungkin aku lebih faham kerana umur belia seperti aku dapat melihat secara dekat pertukaran zaman analog kepada digital. Dari zaman persoalan medium catan kepada pengiraan arithmetik JPEG. Cukup untuk aku kata, ketidak perhatin aku kepada dunia digital dalam masa dua tahun sudah cukup untuk merubah dunia seni. Mungkin zaman aku masih lagi zaman pop-art dan pixel-art berleluasa. Aku juga adalah salah seorang 80 netizen terawal Icon Town (icontown.de) (Julius Wiedemann (2003). Taschen's 1000 Favorite Websites, Midi Series,(pp. 357-358). Taschen). Malangnya projek ini sudah tidak wujud. Begitu juga penglibatan aku dalam Mirror Project dengan medium fotografi. Ini adalah serpihan kisah aku daripada wujudnya komunikasi maya dalam masyarakat digital sejak awal tahun 2000. Bayangkan, zaman yang tiada MMS, tiada WhatsApp dan tiada Instagram. Masing-masing masih mampu mempertayangkan kepada umum akan kebolehan dan masa yang sama memperdangangkan diri dalam industri rekabentuk jika dalam kes aku di atas. Memperdagangkan diri maksud aku disini ialah dalam erti kata berniaga sebagai freelancer. Tapi dalam sudut lokaliti, aku tidak punya ruang untuk bergesel bahu dengan masyarakat tempatan. Maka, pada zaman itu, berbalik semula kepada cerita ruang orang seni yang hanya diketahui oleh orang seni, bukan orang biasa-biasa seperti aku. Pada aku dan pada zaman itu, ia adalah ruang yang kurang mencapah dan mengintai untuk lebih rapat kepada masyarakat tempatan.
Alhamdulillah ruang ini sudah makin galak bercambah dan masyarakat biasa-biasa seperti aku sudah boleh mengakses kepada karya orang seni. Sebelum ini, mungkin orang seni hanya sinonim dengan Pasar Seni, Pasar Sabtu dan Pasar Karat. Setakat ini, aku belum lagi melihat karya muda orang seni ini berada di pasar-pasar yang dekat dengan masyarakat biasa-biasa. Karya mereka lebih terdedah di Festival Seni anjuran anak muda di hujung minggu yang rata-ratanya khas buat anak muda. Definisi anak muda terhadap memperdagangkan atau memamerkan karya mereka kepada masyarakat biasa-biasa adalah pendekatan yang tidak memberi apa-apa faedah. Ini bukan persoalan kerana aku pernah berada di zaman kegemilangan itu. Definisi anak muda pada aku ialah anak muda yang dibawah 30 tahun. Mungkin aku dangkal. Tapi mungkin juga aku yang biasa-biasa ini belum berjumpa dengan anak muda yang berjiwa rakyat yang mendidik masyarakat tentang menilai dalam apresiasi seni secara terang-terangan. Mungkin juga tulisan aku ini tidak dibaca oleh orang biasa-biasa. Sekali lagi aku tidak mempersalahkan sesiapa dalam isu yang aku sendiri bangkitkan. Dari awal, aku menyatakan bahawa ini adalah perbincangan dan huraian dalam versi seorang aku yang biasa-biasa.
Zaman sekarang adalah zaman doodle dan ilustrasi. Zaman institusi Instagram mengambil alih tugas fizikal institusi fizikal yang sudah sedia wujud. Jika anda punya Instagram, mudah sahaja mencari karya seni anak muda tempatan dengan bantuan hashtag (#). Hashtag sama yang merubah pandangan dunia tentang keganasan Zionis terhadap Palestin. Gandingan hashtag #malaysia #lokal #kualalumpur mungkin dengan mudah kita boleh berjumpa dengan karya anak muda tempatan. Aku belum cuba masa menulis sekarang ini. Tapi dengan Instagram aku tidak sengaja bertemu @Taib_Aur. Dengan #tanahairku kita boleh melihat hasil tangan anak seni tempatan. Aku tidak bermaksud karya anak muda tempatan adalah hanya pada tahap doodle dan ilustrasi. Malahan ia lebih berkembang dan menuju ke arah profesionalism dan berstatus elit. Masyarakat lebih mudah mencerna doodle dan ilustrasi dan apreasiasi mereka lebih kepada genre ini kerana ia lebih mudah diterima dan diterjemah. Langkah ini juga adalah langkah awal karyawan muda untuk berinteraksi dengan masyarakat biasa-biasa dan dapat meletakan diri mereka dalam industri seni tempatan. Ini dibantu dengan industri fesyen dan gerakan seni anak muda berhashtagkan #lokal di Instagram. Maaf jika aku dangkal. Terus terang aku katakan bahawa aku mati akal untuk huraikan pendekatan Instagram dengan seni tempatan dan apresiasi masyarakat tentang seni melalui jumlah Likers dan komen di Instagram. Instagram personal aku baru berjumlah 300 posting, followers aku masih 99 walaupun dua hari lepas 100. Yang pasti, platform ini membantu untuk memberi ruang yang lebih besar kapasitinya kepada orang seni untuk mengembangkan sayap mereka dan mungkin bergesel bahu dengan masyarakat tempatan tanpa segan silu dan bercanda dengan orang biasa-biasa semacam aku. Insyallah seni tempatan sememangnya menuju ke arah yang lebih positif.
Wallahulam.
Dansajari,
24/10/14, Kota Damn.