KEPALA ANGIN 2
“She’s not beautiful, you know, but I love her.”
“Romantisss!”
“Sweetnya…”
Kepala Angin #2 merupakan karya yang pada aku memberi erti yang mendalam. Bilamana aku melihat karya ini dengan bait-bait ayat puitis seolah-olah ianya berkata-kata. Kekadang ia merintih kesedihan, kekadang ia tertawa (Aku belum gila). Karya ini merupakan salah satu daripada 26 karya yang dihasilkan oleh Abdullah Jones (AJ) untuk pameran solonya; BLUES MALAYA. Jika di amati setiap karya beliau menampilkan ide-ide mengenai politik, isu-isu sosial, kenegaraan dan sosio-geografi. Namun dalam kesemua 26 karya-karya AJ, Kepala Angin #2 benar-benar buat aku jadi kepala angin.
Karya Kepala Angin #2 yang pada aku bersifat kenegaraan di mana AJ secara terus menyatakan bahawa terdapat perbezaan antara negara dan kerajaan memerintah – “Mesti tahu beza mana satu kerajaan, mana satu negara.”. Negara ialah sesuatu kawasan yang didiami oleh sekelompok masyarakat, mempunyai kedaulatan politik dan juga jentera pemerintahan. Kata nama ‘negara’ ini juga bersinonim dengan kata nama ‘tanah air’. Tanah air jika di semak dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua membawa maksud tanah tempat tumpah darah; tanah air sendiri. Kerajaan pula bermaksud pemerintah pusat sesuatu negeri atau negara. Malaysia menggunakan system pemerintahan yang berdasarkan kepada sistem Westminster – sistem parlimen kerajaan demokratik. Orang ramai perlu sedar bahawa, jika seseorang itu cintakan negara belum tentu lagi dia mencintai kerajaan memerintah. Seperti contoh, TK amat cintakan Malaysia, namun tak bermakna TK mencintai kerajaan pemerintah. Rata-rata masyarakat takut atau malu untuk mengaku mencintai negara. Bahkan ada yang sanggup menipu diri sendiri kerana tidak mahu dikecam atau disindir sebilangan masyarakat yang buta atau buat-buat buta tidak memahami perbezaan antara kerajaan dan negara.
“She’s not beautiful, you know, but I love her.”
Ya aku akui yang Malaysia tidaklah sempurna. Masih banyak lagi kelowongan padanya namun, adakah ini sebab untuknya dibenci? Aku bukanlah nasionalis, cuma seorang realis yang tahu tanpa negara ini, ke mana tempat yang boleh ku melangkah pergi. Malaysia adalah tempat lahirku dan kemungkinan di bumi bertuah ini juga aku kan dikubur. Walau seburuk manapun Malaysia, dia masih lagi tanah tumpah air kita. Jika ada kecacatan padanya, adalah lebih baik kita bersama-sama cuba untuk memperbaikinya dan bukan lagi dirosak, dihancur atau dibinasakan. Jika kita bersatu tenaga, berganding bahu, aku pasti yang cacat dan buruk itu dapat diubah.
“Cinta ibu pertiwi, cinta tak berbelah bahagi, cinta yang tiada kompromi.”
Sama seperti cinta seorang ibu kepada anaknya. Tidak kira seteruk mana anak tersebut, tidak kira seberapa banyak orang yang membenci anak itu, namun pasti ibunya tetap mencintai anaknya. Kerana apa? Kerana anaknya itu merupakan darah dagingnya sendiri. Anak itu yang dikandung selama 9 bulan 10 hari, yang diusung ke sana ke mari, yang ditatang bagai minyak yang penuh. Begitu juga dengan negara ini. Negara ini walau bagaimana sekalipun kita lakukan kepadanya, ianya tetap negara kita. Ianya tetap akan menerima kita tanpa ada sebarang diskriminasi. Kerana ianya tanah tumpah darah kita.
Negaraku,
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup,
Bersatu dan maju,
Rahmat bahagia,
Tuhan kurniakan,
Raja kita selamat bertakhta,
Rahmat bahagia,
Tuhan kurniakan,
Raja kita selamat bertakhta.
Amir Amin, Setudio Sekangkang Kera, 1530 | 23.02.17